Potret Hidupku (Episod 1) : Aku Terhidu Minyak Wangi Wanita Yang Bukan Kepunyaanku di baju Suami

Terasa berat kakiku untuk melangkah keluar dari kamar perbicaraanku di mahkamah ini. Fikiranku kosong dan perasaanku bercampur antara sedih, lega, takut dan bermacam lagi. Walaupun hampir setengah jam yang lalu, Haris, yakni bekas suamiku, melafazkan talak kepadaku, tetapi telingaku masih lagi tergiang-giang perkataan yang dilafazkannya di depan hakim seperti baru satu saat yang lalu. Sebelum aku menjejakkan kaki di sini, aku sudah mencekalkan hatiku untuk menerima perpisahan ini dengan hati yang pasrah kepada ketentuan ilahi.

Aku cuba sedaya upaya untuk tidak menitiskan air mataku di depan Haris kerana aku mahu membuktikan kepada dia yang aku redha dengan takdirku. Namun apakan daya, aku hanya seorang wanita biasa yang mudah mengalirkan air mata saat hatiku terluka. Aku tidak mahu hidup bermadu kerana memang itu prinsipku yang telah aku tanam sejak dahulu lagi. Aku boleh terima sekiranya untuk aku berkongsi barang namun aku tidak boleh terima untuk berkongsi kasih seorang suami dengan wanita lain.

Kini lelaki yang berjanji untuk menjagaku hingga keakhir hayatnya telah memungkiri janji dan sanggup melanggar janji yang telah dibuat suatu ketika dahulu. Haris, lelaki yang aku kahwininya atas dasar cinta dan telah hidup bersama hampir lima belas tahun kini telah berpaling kepada wanita lain. Betapa pedihnya hatiku apabila suami yang aku cinta sepenuh jiwa ragaku berselingkuh dibelakangku.

Aku seringkali menanyakan diriku, dimana silapku? Apa dosaku? Kenapa semuanya berlaku kepadaku? Setiap kali perasaanku bercelaru, aku memilih untuk mendirikan solat sunat dan mengadu nasibku kepada Maha Pencipta. Di atas tikar sejadahlah tempat aku meluahkan perasaanku dan menangis.

Perselingkuhan Haris dapat aku hidu daripada kelakuannya yang tidak seperti biasa. Hampir tiga bulan aku pendamkan gelojak perasaanku daripada Haris. Aku tidak mahu sekiranya aku meluahkan gelora hatiku ini akan menyebabkan hubungan kami suami isteri akan terjejas.

Aku seringkali memujuk hatiku untuk tidak memikirkan perkara tersebut. Aku tahu tindakanku meragui suamiku sendiri adalah suatu perkara yang berdosa dari segi agama, tetapi desakan perasaan seorang wanita tidak dapat aku tolak sepenuhnya untuk tidak membangkitkan perkara tersebut.

Aku mencari sebab dan punca perubahan suamiku yang berubah sikap dingin terhadap aku dan anak-anak. Pernah sekali ketika aku hendak mencuci pakaian kerja Haris, aku terhidu minyak wangi wanita yang bukan kepunyaanku.

Sejak dari kejadian tersebut, keraguanku terhadap Haris semakin menebal. Aku pernah mengikut pergerakan Haris secara sembunyi untuk mencari kebenaran dan jawapan kepada persoalan dibenakku.

Kebenaran yang aku dapati benar-benar menghancurkan sekeping hatiku, ibaratnya seperti gelas yang terhempas ke simen dan serpihan yang halus itu terbenam ditelapak kakiku. Betapa pedih dan terhirisnya hatiku. Aku menangkap beberapa keping gambar menggunakan telefon bimbitku untuk aku jadikan bukti kepada perselingkuhan Haris. Aku mencari waktu yang sesuai untuk mendapatkan kebenaran dari mulut Haris sendiri. Seminggu kemudian, aku mengambil cuti dan aku meminta Haris untuk mengambil cuti pada hari yang sama walaupun Haris memberikan alasan tetapi aku memaksanya untuk turut berbuat sedemikian juga. Aku memilih untuk berbincang mengenainya ketika anak-anakku kesekolah.

Aku meminta Haris untuk menungguku di ruang tamu sementara aku mempersiapkan fizikal dan mental diriku untuk menerima jawapan yang bakal keluar dari mulut Haris. Aku memulakan bicaraku dengan nada yang lembut kerana aku tidak mahu mencipta pertengkaran antara kami. Memang beginilah caraku untuk duduk berbincang secara baik dan mengelakkan meninggikan suaraku terutama sekali kepada Haris. Aku menanyakan mengenai hubungan sulitnya dengan seorang wanita tetapi Haris menafikan dengan sekeras-kerasnya. Aku menunjukkan bukti yang aku perolehi hasil dari usahaku sendiri itu. Haris terdiam dan terkedu melihat gambar mesranya dengan wanita tersebut dapat aku perolehi.

Artikel Berkaitan : Berkenalan di media Sosial Kerana Rupa Kau Tinggalkan Aku

Aku mencadangkan kepada Haris untuk berpisah sementara untuk dia mengenang semula saat-saat bahagia kami sekeluarga. Haris menerima cadanganku tanpa banyak bicara dan Haris sendiri menawarkan diri untuk keluar dari rumah tersebut. Aku membantu Haris mengemas pakaiannya dan aku melayanninya seperti biasa. Aku menyalaminya dan aku tenung matanya sebagai isyarat yang memberi makna semoga dia akan pulang dengan khabar yang baik. Akan aku katakan kepada anak-anakku yang ayah mereka terpaksa keluar negeri atas dasar kerja.

Aku hantar pemergiannya dengan pandangan yang sayu. Akan aku cuba tabahkan hatiku sekiranya Haris pulang dengan khabar yang sebaliknya. Perasaanku terhadap Haris semakin hari semakin terhakis selepas peristiwa aku berjaya menangkap bukti perselingkuhannya. Difikiranku hanya memikirkan kehidupan anak-anakku sekiranya kami terpaksa bercerai nanti.

(bersambung)

 

Advertisements