Kisah Benar : Perempuan Berbaju Putih dan Sedikit Berlumpur Bertenggek Atas Almari

Kisah ini berlaku ketika kami tingkatan 5 di asrama. Waktu ini kami sibuk mengulangkaji pelajaran untuk Percubaan SPM yang hampir tiba. Jadi kami semua belajar sehingga lewat malam di dalam bilik. Bilik kami ada dua belas orang ke semuanya. Aku, Fifi, Kolang, Jemy, Chiki, Aleen, Amal, Eton, Yana , Nad , Bella dan Zella. Kesemua kami leka mengulang kaji sehinggalah tengah malam.

Tiba-tiba Bella ajak kami ke tandas kerana ingin melepaskan hajat kecilnya. Apa lagi aku, Fifi, Yana pun nak ikut sekali kerana kalau pergi tandas ramai-ramai ni tak adalah seram sangat. Tambahan pula asrama kami bukan seperti asrama yang moden. Asrama kami mengunakan blok sekolah. Jika keluar dari bilik sudah nampak langit, nampak jalan, macam keluar dari rumahlah kiranya.

Dalam perjalanan ke tandas kami terpaksa melalui satu bilik yang sudah lama tidak di gunakan dan bilik itu sangat kotor. Salah satu tingkap di bilik itu memang sudah lama tiada, jadi mata kami pun liar melihat ke dalam bilik itu. Seramnya bukan kepalang, kami mempercepatkan langkah ke tandas.

Setibanya di tandas semua berasa lega dan pergi melepaskan hajat masing-masing. Tandas cuma ada tiga jadi terpaksalah bergilir. Mula aku dan Yana masuk ke tandas, selepas itu Bella dan Fifi pula. Waktu mereka di dalam, aku dan Yana tunggu di balkoni di hadapan tandas. Aku menghadap Yana yang membelakangi pokok kelapa. Ketika itu aku dapat rasakan bulu romaku sudah meremang tetapi aku cuba abaikan dengan berbual seperti biasa dengan Yana.

Bella pula keluar dari tandas dan terus ke balkoni dan memandang tepat ke tempat bakar sampah yang bersebelahan dengan pokok kelapa itu. Aku pelik dengan tindakannya itu. Ketika itu aku nampak Bella sedikit kebelakang dan memandang ke arah pokok kelapa itu. Merasai ada yang tidak kena, aku terus memandang ke arah pokok itu. Alangkah terkejutnya aku, ada sesuatu yang bertenggek di atas pokok itu dengan pakaian berwarna putih dengan kesan lumpur. Mata merahnya galak memandang ke arah kami bertiga.

Aku dan Bella bergerak ke hadapan sedikit. Melihat kami seperti cacing kepanasan, Yana segera memanggil Fifi. Mungkin Yana sudah dapat mengagak apa yang kami nampak. Fifi yang baru muncul di pintu bilik air terus kami tinggalkan dengan harapan Fifi mengejar kami, tapi sayang dia tidak faham dan masih berjalan seperti biasa. Mujur dia sampai di bilik dengan selamat.

Rakan sebilik semua terkejut melihat kami yang pucat lesi. Begitu juga dengan Fifi yang masih buntu dengan tingkah kami kerana meninggalkannya di belakang. Pintu bilik kami kunci, aku mengajak rakan-rakan berkumpul di ruang tengah bilik dan menceritakan kejadian yang kami alami tadi. Mereka semua terkejut, pada saat kami hendak melangkah ke katil.

Artikel Berkaitan : Disampuk Hantu Pokemon [Video]

Tiba-tiba kami terdengar bunyi besi bergeser di hadapan pintu bilik kami. Kami semua menggeletar dan duduk rapat-rapat antara satu sama lain. Aku, Amal, Fifi, Bella, Zella di katil atas, Manakala yang lain ada di sebelah bawah. Selepas bunyi geseran besi hilang, tiba-tiba lampu bilik berkelip-kelip. Bertambah takut kami, ada yang berselubung. Aku pula berpelukan dengan Amal. Hampir 15 minit juga kejadian itu berlaku. Akhirnya dapat juga kami melelapkan mata sekejap.

Tidak lama kemudian, pintu almari pula di tendang. Semua terkejut, tergamam tidak bersuara. Kali ini suara tangisan pula kedengaran. Tiba-tiba Bella menjerit kecil. Alangkah terkejutnya kami apabila terlihat pontianak sedang duduk bertenggek di atas almari. Kami semua bergegas turun ke katil bawah. Terus sahaja kami membaca Surah Yasin yang sememangnya ada diletakkan di bawah bantal.

Akhirnya pontianak itu pergi.

Pagi itu kesemua kami demam panas dan dapat bercuti seminggu. Selepas kejadian itu kami semua dipindahkan ke bilik lain dan kami juga tidak lagi berani untuk ke tandas di tengah malam.

Advertisements