Anak Dara Tua

Saban hari, kita sering disajikan dengan berita andartu lambat kahwin, anak bujang tidak bertemu jodoh, putus tunang dan cerai berai. Tapi, kita hanya tahu menyalahkan mereka tanpa berkata mungkin jodoh mereka sudah tertulis begitu. Ya! Jodoh bukanlah satu perkataan yang boleh dijadikan alasan tanpa perlu usaha. Namun, mempercayai takdir adalah rukun iman keenam.

Apabila seseorang itu berkahwin lambat, adakah satu penghinaan baginya? Sedangkan dia berusaha mencari jodoh bagi dirinya, tapi tidak menjumpai yang sepadan. Membina mahligai perkahwinan tidak semestinya awal dan tidak semestinya lambat. Setiap orang mahukan perkahwinan yang bahagia ke anak cucu tanpa mempunyai masalah. Biarlah perkahwinan itu sekali seumur hidup. Berhentilah menjadi skeptikal terhadap jodoh orang lain. Kahwin lambat tidak menajdi masalah, asalkan bahagia seumur hidup. Daripada tergesa-gesa mencari jodoh tangkap muat tapi gagal dalam perkahwinan. Betul tak?

Kadangkala, seseorang itu memerlukan kerjaya yang stabil dalam hidup mereka sebelum berkahwin. Pendek kata, mereka mahukan perkahwinan seperti yang mereka impikan. Misalnya, mereka mengumpul duit yang banyak untuk merealisasikan impian perkahwinan mereka yang besar tanpa perlu berhutang. Mereka juga mahu membeli rumah sendiri yang selesa selepas berkahwin. Kestabilan dalam kerjaya amat penting sebelum berkahwin. Ini bagi mengelakkan masalah kewangan dalam rumah tangga yang merupakan salah satu faktor penceraian.

Setengah golongan yang berkahwin lambat mereka mahu menikmati kehidupan mereka ketika mereka bujang. Ya! Mereka lebih seronok dengan kehidupan mereka tanpa perlu berkahwin. Setiap orang mempunyai nafsu yang berbeza. Jika seseorang itu sudah bernafsu dan sangat berkeinginan untuk berkahwin, kahwinlah. Tapi, keinginan untuk berkahwin sahaja tidak cukup jika tidak berkemampuan untuk memberikan nafkah zahir dan batin kepada pasangan. Tanggungjwab ketika berkahwin amatlah besar bagi seorang ketua keluarga dan bukan hanya bersandar kepada kepuasan batin sahaja.

Pada pandangan saya,  jodoh adalah di tangan tuhan. Tidak salah untuk bertanya mereka tapi biarlah tidak menyakitkan hati. Manusia yang bijak dan matang adalah manusia yang tahu menjaga hati orang lain. Bukan ape, takut apa yang ditanya itu akan berbalik pada diri kita sendiri. Wallahualam.

Advertisements