Cerpen : Sebuah Kemaafan

Perjalanan ke Kampung Simpang Tiga mengambil masa dua jam dari bandar terdekat. Raihan menyewa sebuah teksi sapu.

“Kamu ni Raihan, anak Pak Seman kan? Kerja jadi jurutera kapal terbang pun masih lagi naik bas kalau balik ke kampung. Kenapa tak naik kereta sendiri Raihan?” tanya Pak Uda, pemandu teksi sapu.

“Kalau saya naik kereta, tak dapatlah saya nak berbual-bual dengan Pakcik Uda,” jawab Raihan sambal tersenyum. Pak Uda ketawa besar.

“Radhi, budak samseng tu dah meninggal dunia. Kata orang kampung, dia kena tembak semasa serbuan polis. Rasanya dia sebaya dengan kamu kan?” Tanya Pak Uda.

“Ya Pak Uda, saya satu kelas dengan dia dulu dari tahun satu sampai enam, sekolah rendah,” jawab Raihan.

“Memang jahat budak tu dulu, ramai budak-budak sekolah kena peras ugut. Dari kecil sampai besar perangai tak berubah. Elok juga kena tembak polis, asyik mengganggu penduduk kampung. Hidup tak aman kalau dia masih hidup,” Pak Uda mengomel.

Raihan hanya tersenyum mendengar kata-kata Pak Uda. Dia kenal benar dengan perangai Radhi yang suka mencuri dan memeras ugut. Dia juga pernah menjadi mangsa peras ugut Radhi satu masa dahulu. Jika bukan kerana nasihat Ustazah Safiah, mungkin dia juga menjadi pendendam  seperti Pak Uda. Peristiwa itu berlaku semasa dia bersekolah darjah enam. Selepas beberapa kali diperas ugut oleh Radhi, Raihan menjadi berang dan terus menyerangnya di kawasan perhimpunan sekolah. Sebaik sahaja beberapa orang guru meleraikan pergaduhan mereka, dia dibawa ke bilik Guru Besar. Segala-galanya masih segar dalam ingatannya.

 

****

 

Raihan masuk ke dalam bilik Guru Besar dengan perasaan yang bercampur-baur. Rancangannya untuk membalas dendam hampir berjaya. Cuma mungkin perancangannya tidak teliti, dia tertangkap.

“Guru Besar dan bapa awak akan tiba lambat sedikit,” Ustazah Safiah menegur Raihan yang kelihatan gelisah.

“Awak budak bijak Raihan. Kalau bukan kerana video telefon bimbit yang kawan-kawan awak rakam, saya tentu tak percaya dengan apa yang berlaku. Memang nampak jelas awak yang mulakan pergaduhan,” tegur Ustazah Safiah.

“Saya dah tak tahan Radhi asyik membuli saya di tempat-tempat terpencil, ustazah. Duit belanja saya semua dia ambil. Saya buat semua ini supaya dia tahu saya juga anak jantan, boleh melawan balik,” jawab Raihan penuh amarah.

“Perkara-perkara sebigini awak sepatutnya berbincang dahulu dengan ibu-bapa atau guru-guru. Jika ada bukti yang jelas kita boleh buat laporan polis. Jangan buat penghakiman sendiri.”

“Saya mempertahankan hak saya sebagai seorang manusia. Kalau ada orang yang sakiti hati saya, saya akan sakiti hati dia semula,” jawab Raihan dengan penuh dendam.

“Raihan, pertama sekali, jangan cemarkan reputasi baik awak sebagai pelajar cemerlang. Kedua, jika awak mahu balas dendam kepada semua orang yang sakiti awak, hidup awak nanti akan sentiasa dipenuhi dengan kes-kes pergaduhan. Awak perlu belajar memafkan orang lain. Orang lain juga akan sentiasa memafkan awak nanti,” jawab Ustazah Safiah dengan tenang.

“Dia sakitkan hati saya. Dia tak layak dimaafkan,” jawab Raihan masih berdegil.

“Kemaafan itu bukan untuk dia, Raihan. Memberi kemaafan kepada orang lain akan memberikan ketenangan kepada diri sendiri, agar kita boleh lebih fokus kepada cita-cita kita. Jangan risaukan sangat tentang orang yang menyakiti hati kita itu, Tuhan akan balas dengan hukuman yang setimpal,” Ustazah Safiah cuba memujuk Raihan.

Raihan terdiam seketika. Kata-kata Ustazah Safiah ada benarnya. Kata-kata itulah yang telah menjadi sebahagian daripada panduan hidupnya semasa meniti cabaran sebagai seorang penuntut di universiti sehingga bergelar seorang jurutera kapal terbang sekarang.

 

****

 

Petang itu, hanya ada empat orang yang menyembahyangkan jenazah Radhi di masjid Kampung Tiga, Tok Imam, Tok Bilal dan bapanya Radhi sendiri. Kawan-kawan lama mereka semua tidak mahu mengambil bahagian walaupun telah dipujuk beberapa kali. Mereka hanya mahu berjumpa Raihan di kedai kopi yang terletak di hujung kampung.

“Kamu tak ingatkah si Radhi tu selalu ambik duit belanja engkau masa sekolah rendah dulu? Semua orang pun kena. Banyak dosa dia kepada orang-orang kampung ni,” ujar Kamal sambal menghirup kopi. Ismadi, Lan, Tapa dan Yus semua menganggukkan kepala mengiyakan kata-kata Kamal.

“Aku masih ingat lagi, kamu seorang sahaja yang berani belasah dia di hadapan guru-guru,” sambung Tapa.

“Radhi sudah dipanggil menghadap Tuhan, biar Tuhan yang tentukan nasibnya, Kita yang masih hidup ni belum tentu lagi tak buat dosa di masa hadapan. Kita maafkan sahaja dia. Tak guna berdendam dengan orang yang dah tiada lagi,” jawab Raihan ringkas. Kamal, Ismadi, Lan, Tapa dan Yus berpandangan sesama sendiri.

“Benar kata Raihan, Radhi sudah tidak ada lagi. Kita patut maafkan dan lupakan semuanya,” sambung Yus. Raihan tersenyum. Jauh di sudut hatinya dia berdoa agar Radhi dikurangkan siksa kubur.

Penulis : Azura Hariri

 

 

 

 

 

Advertisements

Komen

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s