Kaji latar belakang taska, rumah pengasuh

“IBU BAPA perlu ada rasa syak wasangka sebaik menghantar anak ke rumah pengasuh atau taska. Bahkan jika anda mempunyai pembantu rumah sendiri pun, harus sentiasa beringat supaya anak anda selamat di bawah jagaan mereka.

“Jangan kerana tergesa-gesa dan berasa tidak cukup masa lantas menghantar anak tanpa menyiasat terlebih dulu latar belakang tempat asuhan itu sehingga ada anak terabai, didera atau diperlakukan sesuatu yang merugikan masa depan anak itu sendiri. “Sebelum sesuatu perkara yang tidak elok berlaku, lebih baik kita berwaspada,” kata Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia, Shamsinar Sharif.

Menurutnya, anak kecil juga berhak mendapat perlindungan dan kasih sayang walaupun berada di rumah pengasuh atau taska.

Hak mendapat penjagaan berkualiti, perlindungan, keselesaan atau makanan seimbang ketika ibu bapa sibuk dengan rutin harian, antara aspek yang perlu dititikberatkan oleh pengasuh.

Perkara di luar jangkaan seperti anak didera, diabai, diperkosa atau diperlakukan secara kejam sama ada mental atau fizikal, bagaikan mimpi ngeri kepada ibu bapa mangsa tetapi perkara sedemikian seharusnya dielakkan.

Menurutnya, ada segelintir ibu bapa yang menghantar anak untuk dijaga tanpa mengambil tahu tahap keselamatan untuk menempatkan si anak.

Mungkin kurang prihatin dan bersikap ambil mudah, mereka hanya berharap segalanya mampu disempurnakan oleh pengasuh tanpa memikirkan sebarang kemungkinan yang tidak baik.

“Apabila berlaku sesuatu perkara seperti penderaan yang teruk, diperkosa atau sesuatu yang tidak selamat kepada anak, barulah ibu bapa hendak menuding jari kepada pengasuh atau taska sedangkan mereka sendiri tidak menjalankan peranan penting sejak awal lagi.

“Jika ibu bapa bijaksana, mereka akan memantau ke akar umbi demi memastikan anak-anak mendapat perlindungan sewajarnya. “Malah ada yang memeriksa nisbah seorang pengasuh dengan bilangan kanak-kanak yang dijaga mesti mengikut garis panduan ditetapkan,” katanya.

Baginya, taska berdaftar amat penting kerana ia menjadi tempat perlindungan yang selamat buat anak-anak mendapat perhatian dan kasih sayang sementara ibu bapa mereka seharian bekerja. Ditanya sesetengah ibu bapa turut menghantar anak ke rumah jiran atau keluarga terdekat, aspek keselamatan harus diteliti sebaiknya kerana ia penting untuk masa depan anak-anak. “Ibu bapa seharusnya memastikan sendiri ciri-ciri taska atau rumah yang menempatkan anak mereka itu benar-benar berdaftar, keselamatan terjamin, penjagaannya selesa selain makan dan minum yang sempurna buat anak-anak,” katanya.

Menurutnya, penderaan daripada segi fizikal akan nampak kesan nyatanya hingga mengakibatkan kecacatan, kesakitan dan penderitaan. Harus diingat, penderaan yang tidak kelihatan (mental), kesannya lebih buruk sehingga boleh menjadi trauma bukan hanya kepada kanak-kanak itu bahkan keluarganya.

“Kesan cercaan, maki hamun, marah dan herdikan hanya dirasai kanak-kanak yang menjadi mangsa kerana ketika kejadian berlaku, hanya dia dan pengasuh atau orang tertentu yang berada bersama. “Ia mungkin terbawa-bawa dalam kehidupan sehariannya serta menjadi mimpi ngeri yang sukar dilupakan,” katanya.

Dia tidak menafikan banyak penderaan atau kematian seperti bayi tersedak susu, meninggal dunia gara-gara digoncang dalam buaian, dipukul dengan benda tajam, diketuk dengan tukul serta pelbagai bentuk penderaan semata-mata pengasuh terlalu marah kerana kanak-kanak menangis berterusan atau pelbagai sebab lain.

Sehingga kini katanya, hanya 400 taska di negara ini berdaftar dengan agensi kerajaan, selebihnya adalah taska haram yang beroperasi tidak mengikut garis panduan. Namun ibu bapa tetap menghantar anak ke pusat berkenaan tanpa rasa bimbang keselamatan anak-anak mereka.

“Sekiranya taska itu berdaftar, walaupun kapasitinya tidak besar tetapi kualitinya ada, keselamatan terpelihara, kebersihan terjamin dan jumlah pengasuh dengan nisbah anak-anak dijaga sewajarnya, tiada sebab ia menyusahkan ibu bapa. “Kalau berlaku juga penderaan atau pengabaian, mereka boleh diseret ke mahkamah. “Apa yang penting, apabila anak dihantar ke rumah pengasuh atau dijaga sendiri oleh amah di rumah bahkan yang menghantar anak ke taska berdaftar sekalipun, sesekali lakukan lawatan mengejut tanpa memberitahu mereka terlebih dulu bagi melihat sendiri apa yang berlaku. “Bukan ingin dikenali sebagai ibu bapa yang cerewet tetapi dalam hal ini, mencegah adalah lebih baik,” katanya.

Advertisements

Komen

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s